Hero sensasi drama masakini, Zul Ariffin mendakwa para peminatnya lebih gemar melihat dia membawa watak lakonan berunsur romantik berbanding watak-watak lain termasuk yang bersifat antagonis.
Zul berkata, sekiranya dia membawa watak lain selain romantik, para pemint seolah tidak memberi perhatian terhadap lakonannya.
"Saya mula dikenali dengan watak romantik tetapi hakikatnya sebelum ini kebanyakkan watak saya adalah antagonis seperti dalam filem Penanggal dan Bikers Kental.
"Penonton tidak beri perhatian terhadap lakonan watak itu dan lebih suka saya bawa watak romantik," katanya dalam satu kenyataan kepada sebuah portal hari ini.
Justeru itu kata pelakon bertubuh sado itu, dia perlu berhati-hati dalam pemilihan watak lakonan dan lebih mengutamakan drama berbanding tawaran melakonkan watak di dalam filem tempatan.
Katanya dengan mengutamakan drama memungkinkan dia mempertahankan namanya dalam industri lakonan tempatan.
Zul turut mendakwa bahawa sambutan yang kurang menggalakkan terhadap filem-filem tempatan membuatkan dia agak takut dan berhati-hati dalam menerima sebarang tawaran produser filem padanya.
"Keadaan pasaran filem sekarang membuatkan saya takut kerana sambutan tidak menggalakkan. Banyak filem yang bagus-bagus tapi tidak berjaya menarik penonton.
"Ia risiko besar dan Isya-Allah kalau dah tiba masa yang sesuai, projek dan watak yang bagus saya akan fikirkannya," ujarnya yang dipetik dari mStar.
Dalam perkembangan terkini pelakon itu dalam industri hiburan tanahair, Zul memaklumkan bahawa dia sedang sibuk dengan penggambaran drama Istikharah Cinta untuk Slot Akasia di TV3.