Telefon bimbit ibarat menjadi kemestian dalam hidup masa kini. Rasanya tidak sempurna hidup tanpa alat komunikasi itu. Lebih-lebih lagi dengan gajet pintar (smart phone) banyak gunanya. Jika sesat jalan, boleh menggunakan google earth bagi mencari destinasi tujuan.
Malah di Masjidilharam, orang Malaysia kini boleh mendengar khutbah dalam bahasa Melayu menggunakan smart phone. Ia hasil inisiatif Kerajaan Arab Saudi yang menyediakan penterjemah bagi kemudahan ratusan ribu umat Islam dari rantau ASEAN mengikuti khutbah secara langsung yang disampaikan dalam bahasa arab.
Demikian hebatnya teknologi membantu kita dalam memudahkan lagi pelaksanaan ibadat harian. Bagaimanapun, terlalu obses dengan gajet tersebut secara tidak disedari boleh menyebabkan pahala ibadat kita menjadi sia-sia terutama ketika solat Jumaat.
Solat Jumaat adalah masa di mana kaum muslimin berhimpun di masjid tanpa mengira pangkat, kedudukan atau bangsa. Khutbah pula adalah satu daripada lima syarat sah solat Jumaat. Justeru, ia adalah wasilah terbaik untuk menyampai dan menerima nasihat, peringatan serta mesej-mesej ukhrawi dan duniawi kepada masyarakat Islam.
Sebab itu, Rasulullah SAW menyuruh para jemaah supaya diam dan khusyuk mendengar khutbah. Sabda nabi SAW yang bermaksud: Jika engkau mengatakan kepada sahabatmu pada hari Jumaat ‘diam’ padahal imam pada ketika itu sedang berkhutbah, maka sesungguhnya engkau benar-benar berkata sia-sia. (riwayat Bukhari dan Muslim)
Dapatlah difahami daripada hadis ini bahawa apa pun jenis kata-kata mahupun perbualan adalah dilarang sama sekali ketika khutbah Jumaat sedang dibacakan. Ini kerana jika kata-kata seorang jemaah yang menyuruh seorang jemaah lain supaya diam dan mendengar khutbah itu pun dikategorikan sebagai sia-sia, sedangkan perbuatan itu merupakan satu suruhan ke arah kebaikan, apatah lagi kata-kata biasa atau perbualan kosong semata-mata.
Malangnya, masih ada dalam kalangan umat Islam terutama remaja yang tidak boleh berenggang dengan telefon bimbit mereka. Sehinggakan semasa khatib berkhutbah pun, ada yang melayari internet, chatting dan bermain game.
Perbuatan sebegini tidak patut berlaku kerana ia menjejaskan kesempurnaan solat Jumaat. Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: Sesiapa yang berwuduk dan menyempurnakan wuduknya, kemudian dia (pergi ke masjid) untuk menunaikan solat Jumaat, lalu mendengar dan tidak bercakap (ketika khutbah disampaikan), maka diampuni dosa-dosanya yang ada di antara hari Jumaat itu dan hari Jumaat berikutnya dan ditambah tiga hari lagi. Dan sesiapa yang bermain-main dengan anak-anak batu (ketika khutbah), maka dia telah berbuat sia-sia. (riwayat Muslim)
Adapun perbuatan menggunakan telefon bimbit ketika khatib membaca khutbah Jumaat boleh diqiaskan kepada maksud hadis di atas. Dalam hadis ini, Rasulullah SAW menegaskan sesiapa yang bermain-main dengan anak-anak batu ketika khutbah Jumaat itu telah melakukan suatu perbuatan yang sia-sia.
Maksud ‘sia-sia’ dalam hadis ini adalah bertentangan dengan sunnah, adab dan mengakibatkan rugi pahala dan kelebihan-kelebihan solat Jumaat walaupun sembahyangnya masih dikira sah.
Menurut ulama, larangan itu tidak hanya terbatas terhadap bermain dengan anak batu sahaja tetapi menyeluruh terhadap semua perbuatan yang boleh menjejaskan tumpuan terhadap khutbah Jumaat. Jika dinilai dan diteliti, perbuatan menggunakan telefon bimbit ketika khutbah dibacakan adalah lebih buruk daripada perbuatan bermain dengan anak batu kerana perbuatan seperti bermain game, melayari halaman internet, berkomunikasi melalui halaman rangkaian sosial dan sebagainya itu adalah sangat jelas lebih menghilangkan kekhusyukkan dan menjejaskan tumpuan.
Akan tetapi tidak makruh ke atas orang yang mendengar khutbah Jumaat itu berkata-kata jika berlaku darurat misalnya kerana hendak menyelamatkan orang buta yang hampir jatuh ke dalam parit atau ternampak binatang berbisa seperti kala jengking atau ular menghampiri seseorang. Maka dalam hal sedemikian, tidaklah dilarang orang yang mendengar khutbah Jumaat itu berkata-kata, bahkan wajib baginya melakukan demikian. Akan tetapi lebih baik (sunat) baginya untuk menggunakan isyarat sahaja jika dia mampu mengelakkan daripada berkata-kata.
Marilah memastikan solat Jumaat kita terpelihara daripada sebarang hal yang lagha agar kita beroleh keampunan Allah seperti yang dijanjikan dalam hadis di atas.