Tips Elakkan Daripada Tidur Berdengkur



Kebiasaannya berdengkur acap kali dikaitkan dengan individu yang terlalu penat atau pun berbadan besar. Kononnya tak cukup rehat atau baru lepas melakukan aktiviti lasak. Bagaimanapun anda mungkin pernah mempunyai seorang kawan gadis bertubuh kecil dan tak aktif langsung bersukan, tapi tidurnya tak pernah senyap. Kenapa?

Faktanya, tidur berdengkur bukan saja dialami individu berbadan besar ataupun gemuk, sebaliknya ia boleh terjadi pada gadis yang memiliki tubuh yang langsing dan menawan. Punca dengkur ini bukan sebab penat terlampau yang macam kita selalu fikirkan. Dengkur terjadi disebabkan ada halangan pada saluran pernafasan, juga mungkin kerana posisi tidur yang salah, pengumpulan lemak sekitar muka atau leher dan mungkin juga faktor habuk atau alahan.

Pengaliran udara melalui saluran pernafasan yang sempit ini mengakibatkan lelangit lembut (bahagian tekak) bergetar. Getaran inilah yang menghasilkan bunyi yang kita dengar sebagai dengkur. Daripada terus mengganggu tidur orang lain, apa kata kita cuba kurangkan masalah itu.

Tidaklah segan sangat nanti apabila terpaksa menumpang dekat rumah orang. Jangan pula disebabkan dengkuran berkuasa ‘turbo’, tuan rumah yang tak boleh tidur.

Kawan-kawan, jangan ambil mudah dan pandang ringan pada masalah ini. Impak dan kesannya sangat besar dan ada kalanya kamu sendiri tidak boleh membayangkan. Mana tidaknya, pernah sekali direkodkan yang seorang isteri memohon cerai kerana tidak tahan lagi untuk tidur sekatil dengan suaminya yang kuat berdengkur.

Alasan ini mungkin kedengaran kejam, namun itu realitinya kerana isterinya tidak mempunyai rehat yang cukup setiap hari akibat suaminya yang berdengkur hingga mengganggu tidurnya setiap malam. Malah, ada juga gadis yang mencari sebab untuk putus dengan kekasihnya kerana masalah dengkur.

Logiknya, apabila sebut pasal tidur, kita mesti terbayang waktu untuk merehatkan otak dan badan lepas penat bekerja. Namun, bolehkah tidur lena kalau pasangan kita atau rakan serumah berdengkur? Ada kala kita juga tidak tahu, mungkin selama ini bunyi dengkur diri sendiri yang macam enjin ‘turbo’ itu mengganggu tidur orang lain.

Justeru apa kata kita ambil serius beberapa langkah untuk mencegah masalah ini. Sekurang-kurangnya perlahankan bunyi enjin kita waktu malam.

1. Gandakan bantal – Posisi kepala yang lebih tinggi dapat membantu melancarkan serta memudahkan sistem pernafasan. Ini kerana, posisi seperti ini akan mendorong lidah serta rahang bergerak ke depan. Malah, ia juga melancarkan aliran oksigen yang melalui kawasan leher.

Jangan tak tahu, kini bantal khusus untuk mencegah dengkur juga boleh didapati di pasaran. Jadi, selain daripada menggandakan bantal, kamu juga boleh gunakan bantal khas untuk anti-dengkur yang boleh didapati di pasaran dan kedai terpilih sekarang.

2. Posisi mengiring – Tidur dalam keadaan mengiring mampu melancarkan aliran darah. Ia juga memberikan tekanan yang minimum pada organ pernafasan. Cara ini juga membuatkan kamu bernafas dengan lebih sempurna dan secara tidak langsung mengurangkan masalah dengkur.

3. Elak merokok – Rokok mampu menyebabkan saluran pernafasan kamu menjadi sempit dan akhirnya menyukarkan kamu bernafas. Menurut beberapa kajian di luar negara mengatakan kebanyakan individu yang menghisap rokok berpotensi mengalami masalah berdengkur yang teruk kerana wujudnya selaput yang melekat di paru-paru akibat asap rokok.

Justeru kali ini kita katakan tidak pada rokok kerana ia mampu menyelamatkan nyawa kamu ketika tidur.

4. Tidur teratur – Tubuh yang lemah dan tidak bermaya atau dalam kata lain terlalu penat boleh menyebabkan seseorang itu berdengkur dengan kuat. Keadaan ini terjadi kerana otot di tubuh badan menjadi lemah dan gagal berfungsi dengan sempurna.

Maka tidak hairanlah mengapa individu yang benar-benar sedang keletihan selalunya berdengkur lebih teruk berbanding hari biasa. Untuk mengelakkan diri dari terus berdengkur, rancang dan atur waktu tidur dengan lebih awal dan teratur.

Pastikan tubuh mendapat waktu rehat yang secukupnya iaitu sekurang-kurangnya enam jam sehari.

5. Jaga berat badan – Walaupun ada sesetengah individu yang bertubuh kecil juga berdengkur itu tidak bermaksud ia tiada kena mengena dengan berat badan. Sebenarnya, apabila berat badan bertambah lapisan lemak dalam tubuh juga semakin menebal.

Apabila ia semakin menebal, ia menyebabkan segala saluran semakin sempit terutamanya di bahagian leher. Kerana inilah individu lebih cenderung berbunyi ketika tidur.

6. Hindari ubat penenang atau sedatif – Apa pun jenis penenang, sama ada pil tidur dan apa saja produk ubatan bertujuan menenangkan, boleh menyebabkan dengkur kerana ia mengganggu sistem saraf, seterusnya menyebabkan rehat keterlaluan kepada otot dan tisu dalam kerongkong.

7. Hidu wap air sebelum tidur – Hidung tersumbat juga satu daripada punca berdengkur. Sebelum tidur, hidu wap air panas atau letakkan tuala yang dicelup dengan air panas pada muka dan sedut wapnya. Ini adalah satu cara untuk menghilangkan lendir yang menyumbat hidung kita. Bila lendir hilang pernafasan lebih lancar dan kemungkinan untuk berdengkur berkurangan.

8. Habuk – Habuk atau alahan boleh jadi punca kita berdengkur kerana masalah sukar bernafas. Pastikan cadar dan sarung bantal bersih daripada habuk dan hama. Untuk yang berkemampuan, pasang penapis udara agar kita mendapat bekalan udara bersih.