Jualan Smartphone Samsung Semakin Merosot Disebabkan Oleh Iphone



SEOUL 29 Jan. – Samsung Electronics Co. (Samsung), mencatat keuntungan bersih sebanyak AS$4.9 bilion (RM17.81 bilion) pada suku keempat 2014, menurun 27 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Angka terbaharu itu secara tidak langsung menandakan penurunan berturut-turut dalam tempoh tiga suku pada tahun lepas dengan keuntungan operasi bahagian mudah alih menjunam sehingga 64 peratus.

Pada masa sama, data penyelidikan menunjukkan Samsung turut berhadapan dengan risiko kehilangan penguasaan bahagian pasaran terutama di China ekoran sambutan baik terhadap jualan skrin besar iPhone pada September lalu.

Ketua Hubungan Pelabur Samsung, Robert Yi menyifatkan 2015 sebagai tahun yang menandakan ke arah ‘kestabilan, pemulihan atau pertumbuhan’ melibatkan beberapa cabang perniagaannya.

Sehingga suku keempat, Samsung telah menjual 95 juta unit telefon yang mana 71 juta hingga 76 juta adalah telefon pintar. Pesaingnya, Apple mencatat 74.2 juta jualan iPhone bagi tempoh suku fiskal pertama meningkat 46 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Pengumpul data Penyelidikan Pasaran Teknologi berkata, kedudukan Samsung jatuh ke tangga kelima dalam kalangan pengeluar telefon di China pada suku keempat dengan mencatat sembilan peratus sahaja jualan telefon pintar.

“Bagaimanapun, pada tahun sebelumnya, Samsung menguasai 17 peratus dalam pasaran sekali gus berada pada kedudukan lebih baik berbanding Apple dan pesaing lain di China seperti Xiaomi Corp., Lenovo Group Ltd. dan Huawei Technologies Co.,” katanya.

Rentetan itu, Samsung telah meningkatkan dividen 2014 kepada 40 peratus, sebagai sebahagian daripada langkah terbaharu untuk menenangkan pemegang saham dan pengawal selia kerajaan yang menggesa syarikat terbesar Korea Selatan itu untuk melonggarkan cengkaman ke atas aliran tunai mereka.

Namun, pihak pengurusan syarikat ketika dihubungi menyatakan masih terlalu awal untuk memberi unjuran dividen bagi 2015.

Sementara itu, penganalisis juga melihat langkah syarikat untuk memberi fokus kepada pengeluaran cip pemprosesan dalam telefon pintar terbaharu dijangka berupaya memulihkan syarikat pada kadar sederhana.

“Samsung boleh mengeluarkan produk terbaharu untuk menggantikan model Galaxy S5 pada awal Mac ini dalam usaha untuk meningkatkan jualan tele*fon pintar,” katanya. – AGENSI