Warga Emas Ditemui Masih Hidup Di Dalam Longkang



Seorang warga emas yang dipercayai hilang tidak pulang rumah sejak tiga hari lalu akhirnya ditemui dalam keadaan menggigil kesejukan di dalam sebatang parit besar di Jalan Pengkalan, Batu Kawan, Simpang Ampat di sini, pagi tadi.

Mangsa yang berusia 60 tahun itu dipercayai keluar dari rumah sejak Khamis lalu, namun disedari hilang oleh anaknya pada Jumaat.

Difahamkan, mangsa yang nyanyuk, dan mempunyai penyakit kencing manis serta darah tinggi itu sering keluar rumah dan berjumpa rakan di kampung berdekatan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Bakap, Mohd Khairul Anuar Kamaruddin berkata, pihaknya menerima panggilan daripada anak mangsa pada Sabtu lalu lantas menjalankan operasi mencari dan menyelamat sehingga jam 11.44 malam.

Menurutnya, operasi diteruskan pagi ini dan anggotanya menemui mangsa dalam keadaan kesejukan dalam parit besar kira-kira tiga kilometer dari rumah mangsa.

“Mangsa dijumpai dalam keadaan cedera di bahagian kaki dan siku dipercayai akibat jatuh ke dalam parit sedalam tiga meter itu.

“Mangsa dihantar ke Hospital Sungai Bakap untuk menerima rawatan,” katanya.

Khairul berkata, mangsa dipercayai terjatuh ke dalam parit ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya yang terletak di Taman Cempaka.

Beliau berkata, pemeriksaan awal mendapati mangsa dipercayai baru terjatuh ke dalam parit susulan luka yang masih baru.

“Anak mangsa memaklumkan, ayahnya sering keluar untuk bertemu rakan dan akan pulang ke rumah lewat malam serta mempunyai masalah mata yang kabur.

“Kami percayai mangsa mungkin dalam perjalanan pulang dan akibat kadar penglihatan yang terhad, mangsa mungkin terjatuh ke dalam parit itu,” katanya.